Warga Kemboja didenda RM900 kerana guna kekerasan, keluarkan kata-kata kesat

Iklan
Lin Weida (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dua pertuduhan membabitkan kekerasan jenayah dan penggunaan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 September lepas. Foto Bernama

SEPANG - Seorang lelaki warga Kemboja pada Rabu didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 September lepas.

Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Lin Weida, 42, setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Ejen pelancongan itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air, Sheikh Muhammad Syafiq Sh Khalid di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.50 malam 28 September lepas mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan ini, Khairatul Animah mengenakan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan.

Iklan

Weida juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap kru kabin Batik Air, Yuszai Yusof pada hari sama kira-kira 5.20 petang dalam penerbangan OD606 dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 dan bagi kesalahan ini, mahkamah mengenakan hukuman denda RM100 atau penjara sebulan.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M Sivam. - Bernama