Kamera Awas berjaya kurangkan kemalangan di Terowong Menora - JPJ

Iklan
Muhammad Kifli (tengah) ketika sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Kalumpang, Hulu Selangor pada Rabu.

HULU SELANGOR – [DIKEMAS KINI] Pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) di Terowong Menora, Perak berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di lokasi itu dengan ketara.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebelum ini lokasi berkenaan merekodkan jumlah kes kemalangan hampir setiap minggu.

Iklan
Iklan

“Selepas pemasangan Awas, kadar kes menurun dengan ketara dan hampir dua bulan tidak mencatatkan sebarang kemalangan, sedangkan sebelum ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap minggu.

“Ini membuktikan keberkesanan sistem ini dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya,” katanya ketika sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Kalumpang di sini pada Rabu.

Iklan

Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Tambah Muhammad Kifli, tujuan utama pemasangan kamera Awas bukanlah untuk mengutip saman, sebaliknya mendidik pemandu supaya lebih berhati-hati, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

Iklan

Katanya, pemandu perlu berhati-hati bukan sahaja di lokasi pemasangan kamera Awas tetapi juga di laluan lain.

“Masih ada pemandu yang melanggar had laju, namun mesej utama yang kita mahu tekankan adalah kesedaran," ujarnya.

Katanya lagi, jumlah saman atas pelbagai kesalahan termasuk AwAS yang selesai dijelaskan sebanyak 870,757 notis dengan jumlah bayaran RM130 juta bagi tempoh tahun ini sejak Januari.

Media tempatan sebelum ini melaporkan sebanyak 3,000 notis saman dikeluarkan setiap hari menerusi Awas melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju di Terowong Menora, Ipoh di Perak.

Jumlah saman tersebut diperoleh menerusi dua kamera Awas yang dipasang pada kedua-dua arah di Lebuhraya Utara Selatan.

Notis saman tersebut paling banyak direkodkan pada waktu puncak terutamanya semasa musim perayaan atau cuti persekolahan.