Anggota polis maut nahas kereta, dua treler

Iklan
Perlanggaran menyebabkan kedua-dua treler berat bergesel sebelum salah satu kenderaan berat terbabit memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa.

GERIK - Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 85.3 Jalan Kuala Kangsar, Gerik- Pengkalan Hulu berhampiran Kampung Tawai di sini pada Rabu.

Mangsa, Sarjan Detektif Mohd Fahmi Arzmi, 42, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.50 pagi.

Iklan

Menurutnya, semasa kejadian, kereta Toyota Vios dipandu mangsa dari arah Gerik ke Kuala Kangsar berada di belakang sebuah treler membawa muatan kayu balak.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah treler yang membawa muatan baja dari arah bertentangan dipercayai telah terbabas lalu melanggar bahagian kanan treler muatan balak berkenaan.

Iklan

“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berat bergesel sebelum treler baja terbabit memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemandu treler muatan baja berusia 23 tahun mengalami kecederaan di kepala manakala seorang lagi pemandu treler berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

"Mayat mangsa pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nik Zailan Nik Li di talian 019-9004785 bagi membantu siasatan.