Rogol pembantu rumah: Paul Yong ke Penjara Kajang serta-merta

Iklan
Paul Yong

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diperintah menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, berhubung kesalahan merogol pembantu rumahnya, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Paul Yong, 55, untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara termasuk sebatan.

Iklan
Iklan

Mendengar keputusan itu, Paul Yong selaku perayu yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul.

Isteri dan anak-anaknya juga bersedih dengan keputusan berkenaan kemudian memegang tangan Paul Yong sebelum dibawa ke penjara serta-merta.

Iklan

Paul (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Persekutuan pada Rabu bagi keputusan rayuan terhadap sabitan bersalah merogol pembantu rumahnya enam tahun lalu.

Semasa membaca keputusan penghakiman, Hakim, Wan Ahmad Farid berkata, mahkamah mendapati sabitan terhadap perayu ialah selamat selain hukuman yang diputuskan Mahkamah Rayuan ialah bersesuaian.

Iklan

Katanya, terdapat kejadian rogol dan tanpa persetujuan mangsa dan ia dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Menurutnya, mangsa yang juga saksi pendakwaan ke-15 memberitahu bahawa, bekas pemimpin DAP telah memberi amaran supaya dia tidak mendedahkan kejadian yang berlaku kepada isteri tertuduh.

Sehari selepas kejadian katanya, mangsa menghubungi kakitangan kedutaan Indonesia di sini sebanyak tiga kali dan meminta supaya diselamatkan kerana telah dirogol oleh tertuduh.

“Semasa membuat panggilan, dia menangis dalam keadaan panik kemudian membuat laporan polis.

“Saksi pendakwaan kelima iaitu seorang doktor di hospital dekat Ipoh juga memberitahu terdapat kesan koyakan baharu di selaput daranya, berlaku kurang daripada 72 jam sekali gus menyokong dakwaan rogol itu,” katanya.

Hakim berkata, pembelaan telah membangkitkan isu ketiadaan asid deoksiribonukleik (DNA) perayu ditemui pada mop yang digunakan untuk mengemop air mani dalam bilik tersebut.

Beliau berkata, bukti DNA hanya bersifat menyokong dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan rogol di luar keraguan munasabah.

Katanya, mangsa turut meluahkan perasaan dalam diari dengan menulis ‘aku benci diriku’ dan apabila ditanya di mahkamah, mangsa memberitahu dia merasa kotor, jijik dan hina.

Dalam prosiding ini, Paul Yong selaku perayu diwakili peguam-peguam, Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.

Paul Yong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.

Perbicaraan telah bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Dia diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember tahun sama.

Pada 27 Julai 2022, Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak terbabit bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.

Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya.

Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.

Tidak berpuas hati dengan keputusan panel hakim, ahli politik berkenaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan empat hari kemudian iaitu pada 5 Mac.