TUDM terima 7 bot penyelamat daripada kerajaan Jepun bagi kegunaan Paskau

Iklan
TUDM menerima tujuh bot penyelamat untuk kegunaan Paskau.

BANTING – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima tujuh buah bot penyelamat JE-470 daripada kerajaan Jepun bagi kegunaan Pasukan Khas TUDM (Paskau) di bawah inisiatif Program Bantuan Keselamatan Rasmi antara Jepun dan Malaysia.

Menurut kenyataan TUDM, perolehan tujuh bot penyelamat itu secara langsung dapat membantu Paskau dalam memperkukuh keupayaan operasi di kawasan perairan.

Iklan
Iklan

"Bot itu mampu meningkatkan tahap mobiliti dan kecekapan anggota dalam melaksanakan Operasi Udara TUDM, Operasi Pasukan Khas dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

"Keupayaan itu sekali gus mempertingkat tahap kesiapsiagaan TUDM dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahan dan menjaga kepentingan negara," katanya.

Iklan

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali menyaksikan simbolik penyerahan bot tersebut oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, H E Shikata Noriyuki kepada Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon mewakili Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Jugra, di sini, pada Rabu.

Mengimbas kembali, inisiatif itu bermula apabila Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 1 Disember 2023 telah bersetuju agar Kerajaan Malaysia menerima bantuan daripada Kerajaan Jepun dalam bentuk geran bernilai 400 juta Yen (¥400,000,000) bersamaan RM12.63 juta.

Iklan

"Bantuan itu adalah bagi pembelian peralatan bukan persenjataan di bawah program OSA. Susulan daripada keputusan tersebut, perjanjian Exchange of Notes (EN) telah dimeterai pada 16 Disember 2023 antara kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System (JICS)," katanya.

Menurut kenyataan itu, melalui fasa pelaksanaan program tersebut, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menerima beberapa peralatan secara berperingkat seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV) Drone, bot penyelamat dan Road Cleaning Truck (RCT).

"UAV telah mula diserahkan kepada ATM secara berperingkat mulai 22 September lalu, melibatkan Tentera Darat Malaysia (enam buah), Tentera Laut Diraja Malaysia (enam buah) serta Markas ATM – Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (dua buah).

"Pada hari ini merupakan penyerahan bot penyelamat jenis bot angin kepada ATM yang diterima oleh Paskau," katanya.

Menurutnya, melalui inisiatif ini juga, kerjasama pertahanan strategik Malaysia–Jepun dapat terus diperkukuh.

"Penyerahan ini bukan sahaja membantu mempertingkat kesiapsiagaan pertahanan negara, malah memperjelas komitmen Kerajaan Jepun dalam menyokong kestabilan serantau khususnya dalam aspek pemantauan maritim, kawalan sempadan dan operasi keselamatan," katanya.