RUU Pekerja Gig 2025: Pemandu e-hailing dakwa tidak dibenar masuk dengar taklimat

Iklan
Tangkap layar hantaran di Facebook Grab Driver Malaysia Association mengenai kejadian berkenaan.

SHAH ALAM - Beberapa pemandu e-hailing mendakwa mereka tidak dibenarkan masuk ketika Sesi Taklimat Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 pada Selasa di ibu negara.

Menerusi hantaran di Facebook Grab Driver Malaysia Association, mereka hadir sebagai pemandu e-hailing bagi mendengar taklimat berkenaan seperti yang tertera di poster yang tular di Whatsapp 'group'.

Iklan
Iklan

"Tetapi malangnya, kami tidak dibenarkan masuk oleh wakil Gabungan eHailing Malaysia (GEM) dan Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD).

"Kami juga diajukan soalan adakah kami ini menyokong atau tidak menyokong RUU Pekerja Gig, dan kami juga telah dimaklumkan program tersebut adalah program dalaman," kata hantaran tersebut.

Iklan

Dakwanya lagi, kekecohan berlaku dan hampir berlaku perkara yang tidak diingini.

"Jika program tersebut adalah program dalaman, nasihat kami jangan pihak anda (berkaitan) mengeluarkan poster serta jemputan," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, katanya mengucapkan terima kasih kepada pegawai Menteri Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang akhirnya meleraikan perselisihan faham yang berlaku.

"Terima kasih juga atas kesempatan masa untuk duduk bersama kami di lokasi lain," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan.

 


Penghantar gesa penganjur lebih berhemah, inklusif

SHAH ALAM - Penganjur sesi taklimat berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di ibu negara pada Selasa digesa supaya lebih berhemah, telus dan inklusif dalam mengendalikan program berkenaan.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam kenyataannya memandang serius insiden membabitkan layanan terhadap beberpa pemandu e-hailing berkenaan.

"Kami dimaklumkan bahawa beberapa pemandu e-hailing bukan sahaja dihalang daripada memasuki premis program berkenaan oleh wakil daripada dua pertubuhan malah mereka turut diajukan soalan sama ada menyokong atau tidak menyokong RUU tersebut.

"Lebih mengecewakan, mereka diberitahu bahawa taklimat tersebut adalah program dalaman pihak penganjur, walhal poster dan jemputan telah tersebar secara terbuka dan meluas dalam kalangan komuniti pemandu serta penghantar," katanya pada Rabu.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook Grab Driver Malaysia Association beberapa pemandu e-hailing mendakwa mereka tidak dibenarkan masuk ketika sesi berkenaan.

Dakwanya lagi, kekecohan berlaku dan hampir berlaku perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu Penghantar berpendapat kehadiran pemandu dan penghantar ke sesi seperti itu adalah semata-mata untuk mendapatkan penjelasan dan kefahaman yang jelas mengenai RUU yang bakal memberi kesan langsung kepada masa depan industri gig.

"Sokongan atau penentangan terhadap RUU tidak seharusnya dijadikan halangan untuk mereka hadir.

"Kami menegaskan bahawa setiap pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing sebagai pemegang taruh utama mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat tepat serta menyuarakan pandangan.

"Justeru, kami menggesa agar semua pihak penganjur lebih berhemah, telus dan inklusif dalam mengendalikan program sebegini, supaya matlamat sebenar perbincangan RUU Pekerja Gig 2025 tercapai, iaitu memastikan kebajikan dan kepentingan pekerja gig benar-benar terbela," katanya.