BANGKOK – Polis Thailand menemui mayat seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun dalam keadaan reput di bawah sebuah jambatan di Daerah Thung Khru pada Khamis lalu.
Menurut laporan Khaosod News, bahagian atas dan bawah badan mangsa ditemui terpisah kira-kira tiga meter antara satu sama lain, selain beberapa organ dalaman turut hilang.
Mangsa dikenali sebagai Chusak, dilaporkan telah tinggal di kawasan berkenaan sejak satu hingga dua tahun lalu.
Adik mangsa memaklumkan, si mati lebih gemar tinggal di luar rumah walaupun sebelum ini pernah diganggu sekumpulan remaja yang membakar pakaiannya.
“Punca kematian agak meragukan memandangkan dia pernah diganggu sebelum ini,” katanya dipetik laporan itu.
Seorang penduduk tempatan, Phueng berkata, dia melihat lelaki berkenaan dalam keadaan lemah di bawah jambatan pada Ahad lalu, namun menolak apabila diminta mendapatkan rawatan kesihatan.
Wanita itu yang sering memberinya makanan turut mendakwa ada pihak menyalakan api di kawasan berkenaan untuk menghalangnya tidur di situ.
Selepas kejadian itu, mangsa hanya berbaring di atas kotak kadbod dan tikar yang diberikan oleh Phueng.
Bagaimanapun, penduduk percaya lelaki berkenaan meninggal dunia akibat sakit dan tidak disakiti mana-mana pihak.
Polis bersama pasukan forensik Hospital Siriraj serta anggota penyelamat kemudian melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Difahamkan, sebahagian tubuh mangsa mungkin rosak akibat dimakan biawak di kawasan tersebut.
Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi upacara keagamaan.