MANILA - Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter menggegarkan wilayah Cebu di Filipina pada malam Selasa, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.
Angka korban dijangka terus meningkat.
Menurut Pejabat Maklumat Wilayah, akhbar tempatan SunStar Cebu melaporkan bahawa 13 mangsa terkorban di Bogo City iaitu pusat gempa, manakala empat lagi dilaporkan maut di bandar San Remigio, utara Cebu.
Majlis perbandaran Medellin turut mengesahkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh, selain beberapa cedera dan kerosakan pada dua jambatan utama.
Hospital Wilayah Cebu di Bogo City dilaporkan sesak dengan kemasukan mangsa, sehingga membebankan petugas perubatan.
Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) pada mulanya merekodkan gempa berukuran 6.7 pada skala Richter pada 9.59 malam waktu tempatan Selasa.
Bagaimanapun, magnitud disemak semula kepada 6.9 dengan kedalaman lima kilometer, kira-kira 19 kilometer timur laut Bogo City.
Gegaran kuat turut dirasai di beberapa wilayah lain di Filipina tengah serta sebahagian kawasan di selatan.
Filipina terletak di sepanjang"Lingkaran Api Pasifik," kawasan yang sering berdepan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi. - Bernama-Xinhua