SHAH ALAM – Sebahagian rakyat Malaysia yang mempunyai saman tertunggak melahirkan rasa kesal apabila tidak layak menikmati subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) selepas disenarai hitam.
Golongan terbabit mendakwa mereka turut berdepan tekanan kos sara hidup seperti orang lain, justeru wajar diberi peluang menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Seorang pengguna, Mohd Azhar Hamzah, 44, merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula syarat kelayakan yang mengecualikan individu dalam senarai hitam akibat saman tertunggak.
“Subsidi ini sepatutnya membantu semua rakyat, terutama yang susah. Kami bukan tidak mahu bayar saman, tetapi keadaan ekonomi tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mohd Azhar turut memaklumkan beliau kini berdepan kesukaran lain apabila tidak dapat mengaktifkan lesen memandu selepas disenarai hitam, sekali gus menjejaskan urusan hariannya.
Kementerian Kewangan seperti dilaporkan menjelaskan bahawa garis panduan ketat telah ditetapkan bagi memastikan penyasaran subsidi benar-benar sampai kepada golongan layak.
Antara kategori yang tidak layak ialah individu yang mempunyai lesen memandu tidak aktif, menggunakan lesen selain kelas diluluskan, atau tiada rekod MyKad dalam data agensi.
Mereka yang nombor MyKad perlu semakan lanjut serta tidak tersenarai sebagai pemegang lesen kereta atau motosikal aktif berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dikecualikan.
Menurut kementerian itu, langkah ini bertujuan mengelakkan ketirisan serta menjamin keadilan dalam agihan subsidi, namun pihaknya bersedia meneliti semula rayuan rakyat sekiranya wujud keadaan munasabah.
Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak di sini mendapati proses penebusan subsidi BUDI95 berjalan lancar pada Selasa.
Pengusaha Stesen Minyak Petronas Seksyen 15, Faridah Daud berkata, pelanggan tidak berdepan masalah besar menebus subsidi menggunakan MyKad kerana sistem berfungsi baik.
“Dengan penggunaan aplikasi Setel, pelanggan juga lebih mudah membuat pembayaran tanpa perlu lagi memeriksa kad pengenalan secara manual dan berulang kali,” jelasnya.
Seorang pengguna, Fauziah Ismail, 40, dari Seksyen 14 pula berpuas hati dengan pelaksanaan subsidi itu.
“Prosesnya ringkas dan senang, cuma kalau ada bantuan tambahan pasti lebih mudah,” katanya.
Pekerja swasta, Azali Abdul Wahab, 44, dari Kota Kemuning turut menyatakan kepuasan hati kerana layanan pekerja stesen minyak di Seksyen 15 membantu memudahkan urusan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan subsidi petrol BUDI95 dilaksanakan bermula 30 September 2025 dengan harga subsidi RM1.99 seliter bagi rakyat yang layak, manakala harga tanpa subsidi ditetapkan RM2.60 seliter.