PIPP jana lebih 40 peratus kegunaan elektrik di Lembah Klang

Iklan
Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) dengan kapasiti 1,200 megawatt yang disalurkan ke grid nasional menyokong lebih 40 peratus daripada kegunaan tenaga elektrik di Lembah Klang.- FOTO SINAR HARIAN ROSLI TALIB

LOJI Janakuasa Pulau Indah (PIPP) dengan kapasiti 1,200 megawatt yang disalurkan ke grid nasional menyokong lebih 40 peratus daripada kegunaan tenaga elektrik di Lembah Klang.

Projek tenaga berimpak tinggi dibangunkan dan dimiliki Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. dengan usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad (75 peratus) dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO) (25 peratus) merupakan salah satu loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) termoden di negara ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PIPP merupakan antara aset penjanaan paling maju dan cekap seumpamanya di Malaysia.

“Ia menjadi satu mercu tanda bahawa aspirasi tenaga negara sedang berkembang penuh keyakinan dalam landskap global yang pantas berubah.

Iklan

“PIPP bukan sekadar meningkatkan kapasiti bekalan elektrik negara tetapi juga berperanan sebagai penstabil jangka panjang, memastikan ekonomi, kediaman serta perkhidmatan kritikal negara terus dibekalkan tenaga dan dilindungi,” katanya ketika berucap merasmikan fasiliti PIPP pada Selasa.

Menurutnya, loji berskala besar berasaskan gas asli yang kini beroperasi sepenuhnya itu juga membuktikan peralihan tenaga negara bukan sekadar retorik sebaliknya satu transformasi nasional berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merupakan tulang belakang masa depan tenaga bersih negara.

Iklan

Ujarnya lagi, keselamatan tenaga adalah asas kepada pertumbuhan

Malaysia dan apa yang disaksikan di Pulau Indah ini bukan hanya mercu tanda tenaga negara, tetapi juga bukti bagaimana negeri seperti Selangor memacu kemajuan yang menyokong peluang pekerjaan, keyakinan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi.

Fadillah (lima dari kanan) bersama Amirudin (tiga dari kiri) melihat replika Loji Janakuasa Pulau Indah pada perasmian Loji Janakuasa Pulau Indah pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN ROSLI TALIB

Pada majlis sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, memandangkan Selangor bertanggungjawab terhadap lebih 40 peratus daripada permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia memastikan kesiapsiagaan tenaga bukanlah satu pilihan.

“Ia adalah satu keperluan yang mesti dipenuhi untuk mengekalkan enjin ekonomi negara dan inilah yang sedang kita laksanakan melalui PIPP yang juga merupakan antara projek utama di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dirangka untuk memperkukuh daya saing jangka panjang Selangor," katanya.

Tambahnya, sebagai negeri perindustrian dan berpenduduk padat, Selangor memainkan peranan penting dalam membentuk pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mesti memastikan infrastruktur tenaga kita dibangunkan untuk masa hadapan. Ia perlu berdaya tahan, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Menjayakan visi ini memerlukan sistem tenaga yang berdaya tahan terhadap gangguan bekalan tenaga, rendah dari segi intensiti karbon dan mampu menyokong pertumbuhan pesat industri dan pembandaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, PIPP adalah hasil daripada perancangan teliti, pelaksanaan kolaboratif dan kepakaran teknikal yang mantap.

“Stesen Janakuasa Pulau Indah kini beroperasi sepenuhnya dan bersedia membekalkan tenaga yang boleh dipercayai, cekap, serta lebih bersih kepada grid Malaysia untuk beberapa dekad akan datang.

“Pencapaian ini direalisasikan dengan tahap keselamatan dan prestasi yang tertinggi,” katanya.

Dibina di atas kawasan tanah tebus guna seluas 60 ekar bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang, loji ini turut disokong oleh talian penghantaran elektrik baharu 500 kV dwi-litar sepanjang 37 kilometer menghubungkan PIPP ke PMU Olak Lempit serta saluran paip gas sepanjang 42 kilometer menghubungkan PGU Puchong ke loji.

Projek ini berjaya disiapkan tepat mengikut jadual, dalam bajet yang ditetapkan serta menepati piawaian prestasi antarabangsa.

PIPP telah mencapai Tarikh Operasi Komersial pada 1 Mac lalu di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad dan dan telah menjana lebih daripada 2,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunannya.

*********** FAKTA STESEN JANA KUASA PULAU INDAH 2025**********

Nama Loji: Stesen Jana Kuasa Pulau Indah

Penerangan Loji:

Stesen Jana Kuasa Pulau Indah (Pulau Indah Power Plant, PIPP) merupakan projek infrastruktur tenaga berskala besar yang disokong oleh kerajaan negeri, memainkan peranan penting dalam memperkukuh grid tenaga negara serta menyokong peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih. Loji ini terletak di Pulau Indah, Klang, dengan keluasan tanah kira-kira 60 ekar (24.5 hektar), di atas tanah tebus guna bersebelahan dengan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang di tebing utara Selat Lumut.

2 x 600 MW Turbin Gas Kitaran Gabungan (Combined Cycle Gas Turbine, CCGT) ini dibangunkan dan dimiliki oleh Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd., usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad (75%) dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO) (25%). Projek ini merupakan pelaburan strategik di bawah Kerajaan Negeri Selangor, sejajar dengan agenda tenaga peringkat negeri dan nasional, dalam menyokong agenda kelestarian. PIPP memulakan operasi komersial (Commercial Operation Date, COD) pada 1 Mac 2025, di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Syarikat Pemilikan:

Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. (Worldwide Holdings Berhad 75%, KEPCO 25%)

Syarikat Operasi & Penyelenggaraan (O&M): Pulau Indah O&M Sdn. Bhd. (Worldwide Holdings Berhad 60%, KEPCO 40%)

Kapasiti:

Loji dengan kapasiti 1,200 MW (2 blok 600 MW) menjana tenaga melalui CCGT dan disalurkan ke grid nasional melalui talian berkembar 500 kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Pulau Indah 500 kV yang baru dibangunkan ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Olak Lempit 500/275/132 kV

Teknologi dan Peralatan Utama:

Kemudahan ini terdiri daripada dua (2) blok penjanaan turbin gas kitaran gabungan tunggal, setiap blok mempunyai kapasiti nominal bersih 600 MW.

Setiap blok merangkumi satu (1) turbin gas dwi-bahan api, satu (1) penjana stim pemulihan haba (Heat Recovery Steam Generator, HRSG), satu (1) turbin stim, satu (1) penjana, serta peralatan tambahan berkaitan.

Loji ini menggunakan turbin gas General Electric kelas HA (“GE 9HA.01”) dengan sistem pembakaran pelepasan nitrogen oksida rendah.

Efisiensi :

Di antara kecekapan tertinggi di rantau ini, dengan teknologi turbin GE 9HA.01 dan dijangka mencapai kecekapan kitaran gabungan melebihi 60% (>60%).

Bekalan Gas:

Paip gas khas sepanjang 42 km dibina oleh PETRONAS Gas Berhad, menghubungkan PGU Puchong ke loji.

Transmisi:

Talian penghantaran elektrik baharu 500 kV dwi-litar sepanjang 37 km, menghubungkan PIPP ke PMU Olak Lempit.

Pembeli Tenaga (Offtaker):

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Tempoh PPA:

21 tahun (sehingga 2046)

EPCC:

Konsortium Posco Eco & Challenge Co. Ltd., Mitsubishi Corporation & PEC Powercon Sdn. Bhd.

Jurutera Pemilik:

Jacobs Engineering Services Sdn. Bhd.

Tarikh penjanaan kuasa disalurkan ke grid:

COD dicapai pada 1 Mac 2025, jam 12:00 pagi.

Perasmian Rasmi Loji:

30 September 2025