Ramunas, pengarah didenda lebih RM2 juta salah guna cap dagangan rokok

Iklan
Roslan (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada selasa bagi keputusan kes membabitkan 520,000 rokok pada lima tahun lalu.

SHAH ALAM – Sebuah syarikat dan pengarahnya didenda berjumlah RM2.08 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, masing-masing satu pertuduhan mempunyai kawalan terhadap 520,000 rokok jenama ‘John’ untuk perdagangan, lima tahun lalu.

Hakim, Rasyihah Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili syarikat Ramunas Sdn Bhd dan Roslan Abu Bakar selaku orang kena saman (OKS) gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

“Pendakwaan berjaya membuktikan kes maka Ramunas didenda RM1.56 juta sementara Roslan RM520,000.

“Sekiranya gagal, mahkamah memerintahkan Roslan dipenjara 12 bulan,” kata hakim dengan menambah semua ekshibit kes iaitu 520,000 rokok terbabit dilucuthakkan kepada kerajaan untuk dilupuskan.

Iklan

Mengikut pertuduhan, syarikat itu dan Roslan didakwa mempunyai kawalan bagi maksud perdagangan membabitkan 520,000 rokok jenama ‘John’ 20 batang sekotak.

Semua barang berkenaan menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, di sebuah gudang Pelabuhan Klang pada jam 11.10 pagi 21 Oktober 2020.

Iklan

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama yang membawa hukuman denda RM15,000 bagi setiap barang.

Sementara Roslan yang turut didakwa di bawah kesalahan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta serupa, yang membawa hukuman RM10,000 bagi setiap barang terbabit atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani serta pegawai pendakwa, Khatijah Rajah sementara pembelaan diwakili peguam, R Janeni Devi.