[VIDEO] Pemandu lori mengaku salah bawa ratusan kambing, biri-biri tanpa kebenaran

Iklan

GERIK - Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa atas dua pertuduhan memindahkan 322 ekor kambing dan biri-biri tanpa kebenaran bertulis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak sejak Mac lalu.

Tertuduh, Muhammad Aizal Afizi Ishak, 28, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Iklan
Iklan

Muhammad Aizal mengaku bersalah atas dua pertuduhan memindahkan 322 ekor kambing dan biri-biri tanpa kebenaran bertulis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak sejak Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Aizal didakwa memindahkan 139 ekor kambing dan 23 ekor bebiri menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis yang sah sepertimana di bawah peraturan ditetapkan.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 44 Jalan Gerik-Lenggong berhampiran Bukit Sumpitan, dalam daerah Hulu Perak kira-kira jam 2.15 pagi pada 26 Mac 2025.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan 160 ekor kambing menggunakan kenderaan sama di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 10 April 2025.

Iklan

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zaem Ab Aziz.

Mahkamah menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum.