SHAH ALAM – Penutup lubang kumbahan di kawasan tumpuan ramai termasuk sekolah perlu diperbuat daripada bahan yang kukuh seperti besi tuang keluli atau kelabu, yang mampu menampung beban berat serta menjamin keselamatan.
Pakar kejuruteraan awam, Dr Nor Azmi Bakhary berkata, selain besi tuang, terdapat juga alternatif lain iaitu komposit berprestasi tinggi yang direka khas dengan kapasiti beban setara.
“Di kawasan sekolah, faktor utama yang perlu dipertimbangkan ialah kekuatan beban, kestabilan jangka panjang, sistem pengunci dan ciri anti-gelincir.
“Penutup fiber mungkin sesuai di kawasan perumahan atau utiliti ringan, tetapi bagi kawasan dengan murid sekolah yang ramai, spesifikasi besi tuang dengan piawaian B125/C250 adalah pilihan yang lebih selamat dan wajar dipraktikkan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan, Penerbitan) Jabatan Pengurusan Pembinaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr Narimah Kasim berkata, penutup lubang kumbahan jenis fiber adalah bahan komposit yang diperbuat daripada serat kaca dan resin plastik.
Menurutnya, penutup jenis fiber mempunyai beberapa kelebihan yang ketara berbanding jenis besi atau konkrit, antaranya ringan, tidak mudah berkarat dan mudah diselenggara.
“Bagaimanapun, kelemahannya ialah kekuatan yang terhad jika dibandingkan dengan jenis besi atau konkrit, dan mudah retak sekiranya dikenakan beban yang tinggi atau melebihi had kekuatan yang ditetapkan.
“Ia juga tidak sesuai digunakan di kawasan seperti sekolah atau tempat yang perlu menampung bilangan pengguna yang ramai, disebabkan risiko kerosakan yang lebih tinggi sekiranya ramai melalui kawasan tersebut. Keadaan ini akan membahayakan pengguna, contohnya pelajar sekolah.
“Penutup jenis ini juga akan mengundang keretakan kepada struktur penutup lubang sekiranya menerima beban tinggi dan mengakibatkan keselamatan pengguna terancam,” katanya.
Beliau menambah, spesifikasi penutup kumbahan yang sesuai adalah seperti penutup lubang kumbahan jenis besi yang mempunyai sifat ketahanan lasak yang tinggi dan lebih selamat digunakan.