Tragedi lubang kumbahan: Penutup 'manhole' dalam keadaan baik - JKR

Iklan
JKR telah menghantar pasukan ke lokasi bagi meninjau situasi dan menjalankan siasatan awal.

SEREMBAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden meragut nyawa murid Tahun Tiga yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng pada Sabtu lalu.

JKR dalam satu kenyataan memaklumkan, agensi itu bersimpati dan amat berdukacita dengan insiden menimpa mangsa, Abdul Fattah Khairol Rizal, 9.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, JKR telah menghantar pasukan ke lokasi bagi meninjau situasi dan menjalankan siasatan awal.

“Pasukan JKR negeri telah ke tapak pada jam 5.30 petang hari kejadian dan pemeriksaan mendapati keadaan Small Sewerage Treatment System (SSTS) berada dalam keadaan baik.

Iklan

“Bagaimanapun, penutup manhole SSTS tersebut telah diambil oleh PDRM bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar kenyataan itu, PDRM memaklumkan bahawa penutup berkenaan masih berada dalam keadaan baik, sempurna dan tiada sebarang kecacatan ditemui.

Iklan

Justeru, JKR menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang aduan atau kerosakan aset awam yang boleh mendatangkan bahaya serta mengancam keselamatan.

“Orang awam turut dinasihatkan agar menghormati siasatan yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa.

“JKR sentiasa bersedia dan akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM bagi membantu melancarkan proses siasatan,” katanya.

Dalam kejadian pagi Sabtu, acara hari sukan sekolah bertukar kecoh selepas mangsa, Abdul Fattah, terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu dikatakan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah sekitar jam 9 pagi.