PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui terkejut dengan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan hukuman luar biasa terhadap tujuh pemain warisan negara baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend bagaimanapun menegaskan FAM telah pun mengambil langkah sewajarnya berkaitan isu pentadbiran yang dipersoalkan, selain memberi sokongan penuh terhadap proses rayuan yang sedang berjalan.
“Harimau Malaya kini menumpukan sepenuhnya persiapan menghadapi aksi kelayakan menentang Laos. Fokus kami adalah membentuk pasukan yang kuat, memastikan disiplin, profesionalisme serta prestasi di atas padang terus mencerminkan semangat dan kebanggaan negara,” katanya pada Isnin.
Menurutnya, FAM menghormati proses perundangan FIFA yang sedang berlangsung dan yakin keputusan adil serta telus akan dicapai.
Beliau turut menyifatkan keputusan FIFA ini sebagai detik penentuan buat bola sepak Malaysia, namun menegaskan pasukan kebangsaan tetap berdiri teguh menghadapi cabaran.
“Inilah detik penentuan bola sepak Malaysia. Harimau Malaya kekal teguh dan bersatu, berdiri seiring pemain, jurulatih dan seluruh pasukan, melangkah ke hadapan dengan tekad serta tujuan yang jelas,” tegasnya.
Malaysia dijadual menentang Laos dalam aksi Kelayakan Kumpulan F Piala Asia Arab Saudi 2027 di gelanggang lawan Oktober ini sebelum melayan kunjungan pasukan sama di laman sendiri.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada Jumaat mengumumkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain berkenaan serta denda berjumlah RM1.8 juta terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel yang beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu juga didenda RM10,560.
FAM sebelum ini telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran badan induk sukan itu.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman pihaknya memandang serius perkara itu sambil menegaskan para pemain terlibat ialah rakyat Malaysia yang sah.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pula dalam pada itu mengesahkan tiga pemain warisan Johor Darul Ta’zim iaitu Figueiredo, Irazabal dan Hevel tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tempoh penggantungan yang dikenakan oleh FIFA.