PASIR GUDANG – Cubaan menyeludup masuk tiga kontena daging babi sejuk beku dan ayam tanpa permit bernilai lebih RM1.3 juta digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.
AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dipatahkan setelah menahan tiga kontena berisi pelbagai produk haiwan yang cuba dibawa masuk tanpa dokumen sah antara 17 hingga 24 September lalu.
Menurut kenyataan itu, pada 17 September, pihaknya menemukan 26,466 kilogram Pork Skin On Jowls dari Amerika Syarikat, 330 kilogram Vietnam Suckling Pig dari Vietnam dan 1,020 kilogram Frozen Goose Feet dari Poland dengan anggaran nilai RM898,919.
“Sehari kemudian, sebuah kontena berisi 26,856 kilogram ayam sejuk beku tanpa tulang dari Thailand bernilai RM228,276 turut ditahan.
“Manakala pada 24 September, sebanyak 26,136 kilogram ayam sejuk beku dari negara sama bernilai RM222,156 dirampas,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, keseluruhan barangan sitaan itu dianggarkan bernilai RM1,349,351.
“Kesemua kontena berkenaan tidak mempunyai permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta sijil kesihatan yang diwajibkan.
“Tindakan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya.
Menurutnya, AKPS memandang serius cubaan penyeludupan seperti ini kerana ia boleh mengancam keselamatan makanan negara selain membawa risiko penyakit berjangkit.
“AKPS akan terus memperketat kawalan di semua pintu masuk negara bagi memastikan setiap barangan yang dibawa masuk mematuhi syarat dan peraturan,” katanya.