SEREMBAN - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney hingga berusia 21 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan merogol seorang kenalan wanita pada bulan lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas remaja terbabit membuat pengakuan bersalah pada prosiding laporan sosial dan hukuman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 19 Ogos 2025, kira-kira jam 9.35 pagi di sebuah hotel di Jalan Rasah, Bukit Rasah, di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Menurut fakta kes, tertuduh mengenali mangsa melalui aplikasi dalam talian dan berjumpa di sebuah hotel di daerah ini sebelum melakukan hubungan seks sebanyak lima kali.
Difahamkan, mangsa menaiki bas dari Kedah ke daerah ini untuk berjumpa dengan tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dirinya tidak mahu dimasukkan ke dalam penjara dan memohon untuk menjalani khidmat masyarakat atau dimasukkan ke sekolah Henry Gurney.
Sepupu tertuduh yang hadir ke mahkamah memberitahu ibu-bapa remaja berkenaan yang menetap di Johor tidak dapat hadir atas faktor kewangan selain mengakui tidak mampu untuk membayar bon jaminan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni pula memohon hukuman setimpal dan memberi pengajaran memandangkan mangsa adalah remaja bawah umur.
Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Azlina Mohd Salleh mengesyorkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney hingga berusia 21 tahun.