SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat insiden kebakaran dan letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu di kawasan Putra Heights di daerah Petaling.
Exco Belia dan Sukan Selangor yang juga Exco Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata, jawatankuasa itu dianggotai pakar teknikal, ahli akademik serta profesional industri berkaitan yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan pihak terlibat secara langsung dalam insiden berkenaan.
“Pelantikan ahli jawatankuasa ini juga telah mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mereka akan memulakan siasatan serta-merta dalam tempoh satu hingga dua bulan sehingga laporan lengkap dibentangkan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, objektif utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk menyiasat punca sebenar insiden, menilai tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), mengesyorkan langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian berulang serta membentangkan laporan siasatan penuh kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, jawatankuasa bebas itu dipengerusikan oleh Felo Penyelidik Kanan Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Khamarrul Azahari Razak.
Turut dilantik ialah Pengarah IKRAM Works Sdn. Bhd, Mohd Taufik Haron; Profesor Madya Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd Zahirasri Mohd Tohir serta Pengarah Urusan Geo Mag Engineering, Dr. Mohamad Anuri Ghazali.
Selain itu, keanggotaan jawatankuasa turut membabitkan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Persatuan Jurutera Malaysia, Ir. Muhamad Her Jantan; Naib Presiden Pertubuhan Perancangan Malaysia, TPr Abdul Hamid Akub; Ahli Geofizik Kanan UGEO Solutions Sdn Bhd, Juzaili Azmi; serta Pengurus Tugas Khas, Pejabat Pengarah Eksekutif (EDO), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Shahronizam Noordin.
Najwan berkata, kerajaan negeri mengambil serius insiden berkenaan dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, bebas serta telus dengan keselamatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan.