Tiga kereta, dua motosikal dihempap pokok tumbang

Iklan
Tiga kereta dan dua motosikal rosak selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang di Lintang Macallum 2 awal pagi Isnin.

GEORGE TOWN – Tiga kereta dan dua motosikal rosak selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang di Lintang Macallum 2 susulan angin kuat serta hujan lebat awal pagi Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.40 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan itu, sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bergegas ke lokasi.

Kejadian mengakibatkan tiga buah kereta dan dua buah motosikal rosak.

Iklan

“Ketika tiba di lokasi pada jam 2.45 pagi, pasukan mendapati sebatang pokok milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah tumbang lalu menghempap tiga buah kereta serta dua motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kereta yang terlibat termasuk sebuah Toyota Vios manakala dua lagi masih belum dikenal pasti.

Iklan

“Bagi motosikal pula, ia melibatkan Yamaha LC dan Honda Vario. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerja-kerja pemotongan serta pembersihan masih dijalankan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan peralatan gergaji berantai.

“Tiada agensi luar terlibat dalam operasi ini dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.