Jadikan nahas plaza tol sebagai iktibar

Iklan
Masalah brek sebuah lori didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu.

TRAGEDI di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk), Kajang pada Sabtu yang meragut nyawa bayi berusia 12 bulan serta mencederakan lapan mangsa lain mengejutkan negara lebih-lebih lagi tular video detik-detik kemalangan itu.

Lebih memilukan, ibu bapa bayi terbabit telah menanti selama 10 tahun untuk memperolehi zuriat sebelum salah seorang anak kembar mereka pergi sekelip mata.

Iklan
Iklan

Nahas membabitkan lori dipercayai gagal berfungsi breknya itu bukan sahaja mengundang duka, malah menimbulkan beberapa persoalan termasuk tahap penyelenggaraan kenderaan berat, sikap pemandu dan keselamatan di kawasan tol.

Polis mengesahkan pemandu lori terbabit mendakwa masalah brek menjadi punca nahas, malah siasatan awal mendapati kenderaan itu kali terakhir diselenggara pada April lalu.

Iklan

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini lelaki terbabit mendakwa lori dipandunya mengalami masalah brek dan mengaku melompat keluar dari kenderaan itu.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya, adakah tempoh lima bulan tanpa pemeriksaan lanjut terlalu lama sehingga menjejaskan prestasi kenderaan berat?

Iklan

Lori yang sentiasa digunakan untuk perjalanan jarak jauh dengan bebanan berat memerlukan pemeriksaan berkala lebih kerap berbanding kenderaan persendirian.

Jika aspek terbabit diabaikan, risiko kegagalan teknikal termasuk brek rosak amat tinggi dan akhirnya mengundang tragedi.

Dalam pada itu, tindakan pemandu melompat keluar dari lori akibat masalah brek pada kenderaan terbabit turut mengundang kontroversi.

Bagi sesetengah pihak, langkah itu dianggap cubaan menyelamatkan diri, namun dalam konteks keselamatan jalan raya, ia boleh dianggap sebagai kecuaian kerana pemandu sepatutnya cuba mengawal kenderaan hingga ke detik akhir.

Dalam keadaan panik, tindak balas spontan mungkin menyebabkan pemandu memilih jalan singkat untuk menyelamatkan diri.

Justeru, aspek itulah yang perlu diberi perhatian melalui latihan kecemasan lebih menyeluruh kepada pemandu lori dan kenderaan berat.

Selain faktor brek dan sikap pemandu, kawasan plaza tol sendiri merupakan zon berisiko tinggi kerana kenderaan perlu memperlahankan halaju.

Oleh demikian, cadangan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor supaya kamera perangkap laju dipasang di kawasan tol wajar dipertimbangkan segera bagi mengekang pemanduan berbahaya serta mengurangkan impak kemalangan.

Ingatlah, setiap nyawa yang terkorban adalah peringatan keras bahawa kelalaian sekecil mana pun boleh mengundang padah yang tidak terbayar dengan apa jua ganti rugi.