SHAH ALAM – Kesedaran mahasiswa mengenai bahaya rasuah terus diperkasa apabila lebih 100 pelajar daripada 13 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) menyertai Program Eksplorasi Anti Rasuah Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) 2025 pada Sabtu.
Program anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor itu menghimpunkan seramai 112 mahasiswa yang diberi pendedahan secara interaktif melalui aktiviti luar, sesi perkongsian ilmu serta lawatan ke fasiliti siasatan SPRM.
Peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan bagi menyertai pelbagai aktiviti bermula dengan senamrobik kecergasan, sebelum meneruskan cabaran eksplorasi antirasuah di sekitar pejabat SPRM Selangor.
Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas), Rosmadi Kasim berkata, penglibatan mahasiswa amat penting kerana mereka merupakan barisan pelapis yang bakal memimpin negara.
"Melalui program ini, mereka bukan sahaja belajar tentang bahaya rasuah, malah memahami proses siasatan SPRM dengan melihat sendiri fasiliti lokap, bilik kawad cam dan bilik VIR.
"Turut diadakan sesi kuiz interaktif yang untuk menguji tahap pengetahuan peserta berhubung kesalahan rasuah dan bidang kuasa SPRM," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Selain itu, Ketua Siasatan Negeri, Mohd Raylan Mohd Isa turut berkongsi pengalaman menerusi slot bertajuk Rasuah Musuh Utama Negara yang menekankan cabaran SPRM dalam memerangi jenayah tersebut.
Majlis penutup disempurnakan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Selangor, Azuan Adzhar yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori berkumpulan, individu paling sporting serta pertandingan kuiz.
Beliau berharap mahasiswa dapat menjadi ejen perubahan yang berani menolak rasuah dalam apa jua bentuk.