SHAH ALAM – Tragedi lubang kumbahan yang meragut nyawa seorang murid lelaki berusia sembilan tahun di Lenggeng, Seremban pada Sabtu membuka mata semua pihak untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap fasiliti sekolah termasuk yang sudah usang.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Damai, Mohamad Halim Arafullah berkata, aspek keselamatan dan keselesaan murid perlu menjadi keutamaan meskipun terpaksa mengeluarkan dana bagi kerja-kerja penambahbaikan kecil.
Iklan
Iklan
“Kebanyakan aduan yang diterima melibatkan kerosakan di tandas atau fasiliti bilik darjah seperti kipas dan lampu. Sekiranya kos pembaikan tidak membebankan PIBG, kita sedia mengeluarkan wang.
“Bagaimanapun, peranan guru, pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah amat penting untuk melaporkan kerosakan fasiliti sekolah serta persekitarannya agar dapat dirujuk kepada pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, kempen kesedaran keselamatan wajar dilakukan agar murid lebih peka terhadap kawasan berbahaya di sekolah.
“Murid sekolah rendah belum mengenal erti bahaya yang sebenar kerana mereka berada di fasa meneroka keadaan sekeliling.
“Kempen itu boleh menjadi medium pengenalan supaya mereka dapat menjaga diri daripada mendekati lubang, memanjat tempat tinggi dan sebagainya,” katanya.