Pasang kamera perangkap had laju di kawasan tol - MKJR Selangor

Iklan
MKJR Selangor cadang kamera perangkap had laju dipasang di laluan menuju plaza tol selepas tragedi lori rempuh tiga kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi.

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor mencadangkan agar kamera perangkap had laju dipasang di laluan menuju ke plaza tol susulan insiden sebuah lori merempuh tiga kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu.

Timbalan Pengerusi MKJR Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, ketika ini kebanyakan kamera perangkap had laju hanya dipasang di lebuh raya sedangkan banyak kemalangan turut direkodkan berlaku berhampiran kawasan tol.

Iklan
Iklan

“Persoalannya, mengapa pengguna tidak mematuhi had laju apabila menghampiri plaza tol walaupun papan tanda sudah ada.

“Mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa meneliti semula lokasi kamera ini. Kalau selama ini ia hanya dipasang di lebuh raya, ia juga perlu diletakkan sebelum plaza tol bagi memastikan pemandu benar-benar patuh pada had laju,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan majlis penutup Program Rintis Kursus Warden Trafik Sekolah (WTS) di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sini pada Ahad.

Katanya, penambahan bonggol (speed breaker) di kawasan tol juga wajar dipertimbangkan sebagai langkah tambahan mengurangkan risiko kemalangan.

Iklan

Dalam masa sama, Mohd Yazid menegaskan aspek penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan tidak boleh dipandang ringan kerana berdasarkan laporan, insiden di Bukit Kajang dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek lori.

“Pemeriksaan Puspakom wajib dijalankan secara berkala. Jika kenderaan gagal menjalani pemeriksaan, risikonya sangat tinggi seperti yang berlaku.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi arahan ini serta pada masa sama mewujudkan sistem automatik yang mampu mengesan terus kenderaan melepasi tempoh enam bulan tanpa pemeriksaan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi pada Sabtu, sebuah lori dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya dipercayai gagal dikawal selepas mengalami masalah brek sebelum merempuh tiga kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang.

Akibat kemalangan itu, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh lagi mangsa cedera dan dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang serta KPJ Kajang.