ROMPIN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dikhuatiri lemas selapas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, Muadzam Shah di sini pada Ahad.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa, Saharudin Harun, 44, tahun keluar memancing bersama seorang rakannya berhampiran rumah rakit di sungai tersebut.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah rakit, kipas bot dinaiki mangsa yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan dipercayai tersangkut pada pukat.
Menurutnya, mangsa yang berada di bahagian depan bot ketika itu tercampak terjatuh ke sungai dan hanyut dibawa arus.
"Rakannya cuba membantu tetapi tidak berjaya kerana enjin bot gagal dihidupkan sebelum lelaki itu mendayung ke rumah rakit berhampiran untuk mendapatkan bantuan orang kampung seterusnya membuat panggilan kecemasan untuk bantuan,” katanya.
Sharif Shai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 10.20 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Operasi SAR masih dijalankan namun hingga jam 6 petang, mangsa masih belum ditemui.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di talian 09-4147329 untuk membantu siasatan," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi dengan jarak 77 kilometer dari balai untuk operasi mencari dan menyelamat pemancing tersebut.
Menurutnya, operasi turut dibantu anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Pekan.