KAJANG - Lori yang merempuh tiga kenderaan dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Sabtu dipercayai diselenggara kali terakhir pada April lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan masih dijalankan sama ada betul berlaku masalah brek melibatkan lori terbabit.
"Semakan mendapati lori dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun diselenggara sekitar bulan April.
"Siasatan masih dijalankan berkaitan masalah brek yang dikatakan menjadi punca kemalangan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di plaza tol berkenaan kira-kira jam 10.50 pagi.
Naazron berkata, ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya.
Beliau berkata, pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas brek tidak berfungsi sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
Akibat pelanggaran itu katanya, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.