PahangGo catat rekod MBOR

Iklan
Wan Rosdy menunjukkan sijil pengiktirafan MBOR yang diterima PahangGo sempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 di Bertam Resort & Water Park, Pulau Pinang pada Sabtu. Foto Pahang Media

PULAU PINANG – Aplikasi PahangGo mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai aplikasi kerajaan negeri yang menawarkan perkhidmatan mudah alih dengan ciri terbanyak.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan menerusi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 di Bertam Resort & Water Park di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri merangkap Pengerusi PahangGo, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pencapaian tersebut membuktikan usaha kerajaan negeri dalam mendigitalkan perkhidmatan telah menunjukkan hasil yang membanggakan.

Menurutnya, PahangGo telah mendapat pengiktirafan MBOR kerana mewujudkan pelbagai aplikasi untuk perkhidmatan kerajaan.

Iklan

“Sebagai sebuah agensi yang diberikan mandat oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan Pelan Digital Pahang, PahangGo menyediakan pelbagai kemudahan seperti membayar cukai tanah, parkir, bil air dan elektrik serta pelbagai lagi.

“Usaha ini telah menampakkan keberhasilannya dan mendapat pengiktirafan,” katanya.

Iklan

Tambah Mohammad Fakhruddin lagi, selain kemudahan perkhidmatan, aplikasi tersebut turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk kerjasama dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bagi memudahkan rakyat negeri ini membayar zakat dan wakaf secara dalam talian.

“Inisiatif itu bukan sahaja memudahkan urusan zakat tetapi turut menyokong pembangunan agama di negeri Pahang.

“Inilah pendekatan ‘people-centric’ yang menjadi teras aspirasi Pahang1st,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan e-dompet Pahang yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

“Akan datang nanti, kita bakal melancarkan e-dompet Pahang sebagai satu aplikasi baharu yang diwujudkan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat negeri Pahang.

“Mungkin nama pun belum sedia lagi, jadi saya cadangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Affandi Mohd Isa supaya mengadakan pertandingan menamakan e-dompet kita ini,” katanya.