UMPSA realisasi impian pelajar kurang mampu masuk universiti

Iklan
Tawaran Biasiswa Sulung UMPSA buka peluang Muhammad Afiq sambung pengajian.

KUANTAN – Keterujaan Muhammad Afiq Danial Arifin, 20, menerima tawaran pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tidak bertahan lama apabila dia terpaksa membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut memandangkan keluarganya tidak berkemampuan.

Impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti yang hampir terkubur itu bagaimanapun mendapat sinar baharu hasil usaha seorang guru sehingga nasibnya mendapat perhatian serta bantuan daripada pihak UMPSA.

Iklan
Iklan

UMPSA segera menghulurkan bantuan dengan menawarkan pelajar dari Kampung Bukit Berangan, Kuala Nerus, Terengganu itu Biasiswa Sulung dan Insentif Bantuan Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dr Yatimah menyampaikan insentif bantuan pendidikan Yayasan Perkasa Siswa KPT, Biasiswa Sulung dan komputer riba kepada Muhammad Afiq semasa menyantuni pelajar itu di UMPSA Pekan pada Sabtu. Foto UMPSA

Tanpa persiapan rapi, Muhammad Afiq Danial yang ditawarkan pengajian Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik dengan Kepujian, akhirnya hadir mendaftar di UMPSA Pekan ditemani ayahnya, Arifin Abu Bakar, 60, dan ibunya, Wok Awang, 59, pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Wok bersyukur apabila anak tunggalnya itu berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, apatah lagi dimaklumkan bahawa dia dapat belajar secara percuma sepanjang tempoh pengajian.

“Syukur alhamdulillah, satu-satunya anak saya ini berjaya masuk universiti.

Iklan

"Keprihatinan guru Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Muhammad Azam Md Nor banyak membantu Muhammad Afiq Danial sebaik dimaklumkan menerima tawaran melanjutkan pengajian di UMPSA,” ujarnya sambil mengesat air mata kegembiraan.

Turut hadir menyantuni pelajar itu ialah Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias.

Beliau turut menyampaikan insentif bantuan pendidikan Yayasan Perkasa Siswa KPT, Biasiswa Sulung dan sebuah komputer riba kepada Muhammad Afiq serta pelajar-pelajar berkeperluan lain.

Dr Yatimah berkata, Biasiswa Sulung menawarkan pengecualian yuran kepada individu pertama dalam kalangan keluarga B40 yang belum mempunyai ahli keluarga yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti awam.

Menurutnya, pihak universiti dan Yayasan UMPSA sentiasa menghulurkan bantuan kepada pelajar berkeperluan bagi meringankan beban mereka, terutamanya di awal pengajian semasa melangkah masuk ke menara gading.

Pada majlis itu, Dr Yatimah turut menyantuni pelajar orang kurang upaya (OKU), Nur Aliya Sakinah Saifol Rasli, 21, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mendaftar bagi sesi akademik kali ini.

Nur Aliya yang mempunyai masalah pendengaran bersyukur apabila ditempatkan bersama sepupunya, Nur Syaza Ainaa Mohamad Nahar, 19, sebagai rakan pendamping (KARiB).

Lepasan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dengan pencapaian CGPA 3.78 itu bakal melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian.

Seramai 2,313 pelajar mula mendaftar pada Sabtu di kedua-dua kampus melalui kaedah pandu lalu bagi memudahkan urusan pelajar dan keluarga.