Chelsea tumbang lagi, Maresca makin tertekan

Iklan
Layangan kad merah ke atas Chalobah berikutan kekasaran terhadap Diego Gómez ternyata jejas momentum Chelsea. Foto: Agensi

PEMENANG Piala Dunia Kelab, Chelsea terus dirundung malang apabila tewas 1-3 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendali, Enzo Maresca.

Kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada Manchester United pada 21 September lalu itu menyaksikan penyokong Blues meluahkan rasa kecewa dengan sorakan 'boo' selepas perlawanan.

Iklan
Iklan

Chelsea yang terikat 1-1 kehilangan momentum selepas Trevoh Chalobah dilayangkan kad merah pada minit ke-53.

Situasi itu dimanfaatkan Brighton apabila dua pemain gantian, Danny Welbeck dan Maxim de Cuyper meledak gol pada masa kecederaan 11 minit untuk memastikan kemenangan bergaya pelawat.

Iklan

Maresca sebelum ini berada di kemuncak selepas membawa Chelsea menjulang Liga Konferensi Europa, layak ke Liga Juara-Juara dan menambah koleksi dengan Piala Dunia Kelab.

Namun, selepas enam aksi Liga Perdana Inggeris, Blues hanya mengutip lapan mata dan mula tercicir daripada kelompok teratas.

Iklan

Difahamkan pengurusan kelab menetapkan sasaran jelas mara ke Liga Juara-Juara musim depan sebelum menilai kedudukan Maresca pada akhir musim.

Selepas kekalahan itu, lima watak utama pengurusan The Blues, Paul Winstanley, Laurence Stewart, Sam Jewell, Joe Shields dan pemilik bersama Behdad Eghbali dilihat memasuki bilik persalinan pasukan.

Maresca bagaimanapun menegaskan situasi tersebut bukan perkara luar biasa.

“Mereka memang selalu masuk selepas perlawanan. Kami ada pejabat khas di bilik persalinan untuk berbincang tentang permainan. Ia bukan perkara baharu,” jelasnya.

Walaupun cuba meredakan keadaan, tekanan jelas semakin menghimpit pengendali Itali itu, dengan misi Liga Juara-Juara semakin berliku dengan kunjungan gergasi Portugal, Benfica ke London bagi saingan tertinggi kelab Eropah berkenaan.