Kelancaran hari pertama BUDI95 beri isyarat positif untuk rakyat

Iklan
Hui Ying (dua dari kiri) ketika meninjau hari pertama pelaksanaan Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 bagi anggota polis dan tentera yang bermula hari ini.

PELAKSANAAN Budi Madani RON95 (BUDI95) melibatkan anggota polis dan tentera menyaksikan kejayaan awal program berkenaan sebelum diperluas kepada seluruh rakyat Malaysia pada 30 September ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan bahawa kerajaan berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan program tersebut yang bermula pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, setakat ini tiada aduan diterima berhubung masalah sistem atau isu teknikal di stesen minyak seluruh negara.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Sabtu di beberapa stesen minyak sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur juga mendapati sistem tersebut berfungsi dengan baik tanpa sebarang gangguan.

Iklan

Ia membawa mesej penting bahawa kerajaan serius dalam memastikan program subsidi bersasar berjalan mengikut perancangan.

Ujian awal yang bebas daripada masalah teknikal menunjukkan persediaan dari segi infrastruktur digital, sistem pangkalan data dan kerjasama dengan pengusaha stesen minyak berada pada tahap memuaskan.

Iklan

Anggota Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban mengisi petrol RON95 di stesen Petronas S2 City Park pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini.

Kelancaran itu bukan sahaja memberi keyakinan kepada anggota keselamatan, malah turut menjadi petunjuk bahawa perluasan program kepada masyarakat umum kelak boleh dilaksanakan dengan risiko masalah teknikal yang lebih rendah.

Sudah tentu apabila program BUDI95 diperluaskan kepada rakyat bermula 30 September ini, kerajaan dijangka menerima sambutan yang tinggi.

Hal ini kerana rakyat telah lama menunggu mekanisme subsidi bersasar yang lebih adil, berikutan kebimbangan mengenai ketirisan subsidi minyak sebelum ini.

Keberhasilan fasa awal program BUDI95 menjadi indikator penting kepada kerajaan dalam menilai kesediaan sistem sebelum diperluas kepada seluruh rakyat.

Jika kelancaran yang sama dapat dikekalkan, inisiatif berkenaan bukan sahaja akan mengurangkan beban rakyat, tetapi turut memastikan perbelanjaan negara lebih tersusun melalui subsidi bersasar.

Pada masa yang sama, rakyat akan mendapat keyakinan bahawa usaha reformasi subsidi mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan kehidupan seharian mereka.