KAJANG – Masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Sabtu, sehingga meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, sebuah lori dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya.
"Pemandu lori berusia 42 tahun gagal mengawal kenderaan selepas brek tidak berfungsi sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
"Akibat pelanggaran itu, bayi terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Naazron berkata, pemandu lori telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah, dua rekod berkaitan kes dadah serta empat saman lampau," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502," ujarnya.