MELAKA - Dalam suasana meriah gilang-gemilang, Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 membuka tirai dengan majlis makan malam eksklusif meraikan tetamu dari 150 buah negara di Encore Melaka, di sini pada malam Jumaat.
Acara penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad.
Turut memeriahkan majlis ialah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Sorakan dan tepukan gemuruh mengiringi persembahan tarian zapin membabitkan 1,000 penari termasuk dari Tanjung Pinang, Bengkalis dan Dumai, Indonesia, manakala persembahan bicara berirama oleh pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) turut memukau hadirin.
Terdahulu, Tiong King Sing dan Ab Rauf sempat beramah mesra dengan wakil delegasi sebelum tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan di teater.
Malaysia tekad pacu pelancongan mampan seiring Malaysia Madani
MALAYSIA komited memacu sektor pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan berlandaskan nilai Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan pelancongan tidak boleh dikejar semata-mata untuk angka kedatangan pelancong, sebaliknya perlu berpaksikan kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat.
“Kempen Visit Malaysia 2026 bukan sekadar tentang angka, tetapi pernyataan nilai.
“Kita tidak boleh mengejar pelancongan dengan apa cara sekalipun, sebaliknya mesti membangunkan pelancongan yang lestari, inklusif dan berdaya tahan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) ke-7 di Banda Hilir, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Setiausaha Agung UN Tourism, Zurab Pololikashvili.
Menurut Anwar, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah amat bertepatan kerana negeri bersejarah itu sejak abad ke-15 menjadi pusat pertemuan masyarakat, perdagangan dan budaya.
Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, katanya, Melaka berdiri di persimpangan sejarah dan kemodenan, melambangkan Malaysia sebagai negara yang mengekalkan warisan silam sambil melangkah maju dengan pembangunan moden.
Tambah beliau, nilai-nilai Malaysia Madani seperti kelestarian, kepedulian, hormat, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan menjadi teras strategi pelancongan negara.
Strategi itu, memberi tumpuan kepada segmen bernilai tinggi termasuk ekopelancongan, pelancongan lasak, mesra Muslim, kesihatan, pendidikan, acara perniagaan serta hab nomad digital.
Jelasnya lagi, bagi menangani isu pelepasan karbon khususnya daripada sektor penerbangan yang menyumbang hampir separuh pelepasan industri pelancongan, kerajaan sedang melabur dalam penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Pelancongan berkembang, alam dan budaya tetap dipertahankan
PERLINDUNGAN alam sekitar dan warisan budaya menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan industri pelancongan negara kekal mapan meskipun merekodkan pertumbuhan kukuh di peringkat global.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kejayaan menarik 38 juta pelancong antarabangsa tahun lalu dan 20.6 juta ketibaan dalam separuh pertama tahun ini tidak bermakna jika ekosistem dan nilai warisan terabai.
“Pertumbuhan semata-mata tidak mencukupi.
“Kita mesti bertindak segera melindungi ekosistem dan mengawal kesesakan, terutama di bandar warisan yang menyumbang kepada penurunan Indeks Pembangunan Pengembaraan dan Pelancongan daripada tangga ke-27 pada 2019 kepada ke-35 pada 2024,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sebuah hotel di Banda Hilir di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Setiausaha Agung UN Tourism, Zurab Pololikashvili dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, beliau turut mencontohkan beberapa inisiatif tempatan seperti Homestay Miso Walai di Sabah yang memelihara hutan hujan sambil menyokong 350 keluarga; The Habitat di Pulau Pinang yang melabur pendapatan untuk pemuliharaan; serta Penang Heritage Trust yang mengekalkan warisan hidup.
“Di Mersing, pemerhatian pelancongan mampan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bakal menjadi yang pertama di Malaysia,” katanya sambil menegaskan keseimbangan antara pemuliharaan dan pembangunan sebagai kunci daya tahan pelancongan negara.