SHAH ALAM - Kapal terbaharu milik Sumud Nusantara yang dinamakan sebagai Jong Melayu bersedia membelah lautan untuk menempuh baki perjalanan dari Greece menuju ke Gaza.
Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, inisiatif tersebut melambangkan tekad dan keberanian rakyat Nusantara dalam misi kemanusiaan, sekali gus membawa mesej solidariti tanpa henti terhadap saudara kita di Palestin.
"Perjalanan ini adalah bukti bahawa usaha kolektif mampu menembusi sekatan demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
"Dengan semangat Sumud yang bermaksud keteguhan yang tidak pernah luntur, Jong Melayu menjadi simbol penyatuan rakyat Nusantara, membawa suara yang menuntut keadilan serta kebebasan buat Gaza," katanya menerusi hantaran di Facebook Sumud Nusantara Official pada Sabtu.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara yang diterajui Muhammad Nadir Al-Nuri.
Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece.
Mereka dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.