BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempersoalkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menurut beliau, keputusan badan induk itu menimbulkan tanda tanya memandangkan FIFA sebelum ini sudah pun memberikan kebenaran selepas melalui proses semakan dokumen serta penelitian teliti sebelum membenarkan pemain terbabit beraksi.
“Pelik. FIFA sudah pun memberikan kebenaran seperti proses ditunjukkan. Ini bermakna FIFA sudah memeriksa dokumen dan melakukan usaha wajar yang diperlukan sebelum membenarkan tujuh pemain itu beraksi.
“Kenapa tukar keputusan sekarang? Siapa yang mengemukakan aduan?” soal Khairy.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain tersebut selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.
Antara pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Dalam kenyataan rasmi, FIFA menjelaskan FAM mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi pada perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta).
Setiap pemain terbabit turut didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan diumumkan.