KAJANG – Sebanyak 550 kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi akan dipasang di 18 fasiliti lokap berpusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara bagi memperkukuh pemantauan dan keselamatan tahanan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan meluluskan pelaksanaan pemasangan sistem CCTV.
"Projek itu melibatkan pemasangan kira-kira 550 unit CCTV di lokasi strategik lokap berpusat AADK. Ia bertujuan meningkatkan ketelusan pengoperasian, mencegah insiden yang tidak diingini, meminimumkan kesilapan manusia.
"Selain itu mengadaptasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) untuk pengawasan yang lebih cekap," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ruslin berkata, projek itu adalah sebagai langkah pencegahan bagi memastikan semua tahanan di lokap AADK berada dalam keadaan selamat dan hak asasi mereka terpelihara.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional mengumumkan bahawa
inisiatif strategik ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) untuk meningkatkan integriti, akauntabiliti, dan ketelusan dalam urus tadbir agensi penguatkuasaan," katanya
Menurutnya, ia selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan standard antarabangsa.
"Langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dalam memodenkan fasiliti tahanan AADK serta memastikan keselamatan dan pengurusan tahanan dijalankan dengan penuh integriti.
"Usaha ini juga selaras dengan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang telah dikuat kuasa pada 22 Ogos lalu," katanya.