Kanak-kanak dipukul tukul masih kritikal, doktor pantau rapi

Iklan
Muhammad Ammar yang dirawat di HPUSM, Kubang Kerian. Foto: Ihsan Keluarga

KOTA BHARU – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya sendiri di Jelawat, Bachok, pada Khamis masih berada dalam keadaan kritikal dan dipantau rapi oleh pasukan perubatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.

Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul yang cedera parah di bahagian kepala kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata, mangsa hanya menunjukkan sedikit tindak balas ketika tiba untuk rawatan di hospital itu selepas kejadian.

“Semalam, anak saya adalah gerakkan sedikit kepalanya macam nak beritahu ‘minta tolong’.

Iklan

“Doktor maklumkan keadaannya sangat kritikal dan memerlukan pemantauan berterusan,” katanya pada Jumaat.

Menurut Muhammad Badrul, sebelum kejadian itu dia mengambil Muhammad Ammar dan salah seorang anak suspek berusia lapan tahun pulang dari sekolah yang sama pada jam 12.40 tengah hari.

Iklan

“Masa tiba di rumah abang ipar saya itu untuk hantar anaknya, saya tanya anak saya, dia minta duduk di rumah itu sebab nak bermain dengan sepupunya.

“Saya tinggal dia di situ dan ke Kota Bharu atas urusan kerja, sebelum ini jarang saya tinggal dia di sana,” katanya.

Muhammad Badrul berkata, pada jam 4.30 petang, dia menerima panggilan telefon daripada kakaknya, iaitu isteri suspek yang memaklumkan suspek memukul anaknya dengan menggunakan tukul sehingga cedera parah.

Katanya, dia bergegas ke rumah suspek dan mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah di salah satu bilik stor kecil di dalam rumah berkenaan.

”Ketika kejadian, kakak beritahu dia sedang tidur manakala dua anaknya bermain di ruang tamu manakala seorang lagi anak mereka berusia 14 tahun sedang mandi,” katanya.

Menurut bapa dua anak itu, seluruh ahli keluarga masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu memandangkan suspek yang juga abang iparnya itu tidak pernah menunjukkan sebarang sikap agresif sebelum ini.

“Abang ipar saya ini baik sahaja dengan anak-anak saudara dan tak pernah pun berkelakuan agresif,” katanya.

Selepas kejadian pukul yang berlaku jam 5.15 petang itu, suspek berusia 46 tahun kemudian melarikan diri menaiki motosikal ke Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian, sebelum ditemui meninggal dunia di sebatang pokok ru.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan dan halusinasi sebelum kejadian.