Inkues Zara Qairina: Saksi kanak-kanak keempat selesai beri keterangan

Iklan
Saksi kanak-kanak keempat selesai memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner, pada Jumaat.

KOTA KINABALU - Saksi kanak-kanak keempat selesai memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner, di sini pada Jumaat.

Saksi berkenaan ditemani ibunya sebagai pendamping ketika memberi keterangan yang dijalankan secara melalui kamera.

Iklan
Iklan

Difahamkan, keterangannya berakhir pada jam 11.35 pagi selepas menjawab soalan daripada pasukan peguam mewakili pihak-pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Sementara itu, saksi kanak-kanak kelima dijangka memberi keterangan pada sesi petang prosiding yang bermula jam 2 petang.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan saksi kanak-kanak keempat dan kelima akan tampil memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

Secara keseluruhan, prosiding yang dijalankan secara tertutup melalui kamera itu membabitkan seramai 35 saksi kanak-kanak dan saksi dewasa lain seramai 25 orang.

Iklan

Pihak berkepentingan dalam inkues ini terdiri daripada pasukan peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina.

Bapa Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, pula diwakili peguam Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Selain itu, peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat remaja lain.