FAM belum bersedia urus NFDP - KJ

Iklan
Khairy Jamaluddin.

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuktikan kemampuan kewangan sekiranya berhasrat mengambil alih sepenuhnya Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Khairy yang menjadi antara penggerak utama pelancaran NFDP semasa beliau di kementerian menjelaskan, tiada guna program itu diserahkan kepada FAM sekiranya mereka masih bergantung kepada dana kerajaan, justeru lebih baik ia kekal di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Iklan
Iklan

“Kalau FAM mahu ambil alih, mereka kena cari bajet sendiri. Jika masih bergantung kepada kerajaan, lebih baik NFDP kekal di bawah MSN dengan kerjasama FAM buat masa sekarang,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Kesihatan Eco Lifestyle Med di Wisma Hong Leong, Kuala Lumpur pada Khamis.

Justeru, Khairy meminta FAM menilai dengan teliti sebelum meneruskan rancangan pengambilalihan NFDP.

Iklan

“Jika mereka hanya mahukannya kerana agihan bajet tapi tak boleh laksanakan program, ia tak akan berhasil,” katanya yang turut menjelaskan NFDP sudah wujud sebelum beliau memegang jawatan, namun tidak memiliki struktur kukuh sehingga lahirnya Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Pahang, Akademi Tunas serta Pusat Latihan Daerah (PLD).

Mengulas isu pelantikan pengarah teknikal NFDP, Khairy berpandangan keputusan itu seharusnya dibuat bersama antara FAM dan MSN supaya selari dengan falsafah bola sepak negara.

Iklan

Pada Julai lalu, FAM melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman menyatakan kesediaan untuk mengambil alih pengurusan NFDP dan AMD sekiranya mendapat kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN.

Noor Azman menegaskan pembangunan bola sepak perlu ditadbir oleh satu entiti sahaja agar kesinambungan program dan hala tuju pemain muda tidak terganggu.

NFDP yang dilancarkan pada 2014 berperanan membentuk ekosistem bola sepak akar umbi dengan sasaran melahirkan pemain bertaraf antarabangsa melalui latihan berstruktur.

KBS sebelum ini juga memaklumkan program itu akan melalui proses penilaian semula termasuk mendapatkan panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menambah baik keberkesanannya.

Langkah itu sekali gus membuka kemungkinan NFDP dan AMD diserahkan semula kepada FAM, namun keputusan akhir masih terletak di tangan KBS.