Talak tidak boleh dibuat main

Iklan
Kes pempengaruh Siti Jamumall yang sah bercerai talak tiga mengingatkan masyarakat bahawa lafaz talak bukan permainan dan pakar agama menekankan ia pilihan terakhir, bukan bahan gurauan. Gambar hiasan

Isu lafaz talak kembali mencuri perhatian selepas kisah pempengaruh media sosial, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus, berakhir dengan talak tiga.

Pengakuan yang dibuat secara siaran langsung empat bulan lalu di media sosial akhirnya disahkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor Isnin lalu, sekali gus menutup ruang mereka untuk rujuk semula.

Iklan
Iklan

Walaupun ia menjadi bualan hangat netizen, kes seperti itu mengingatkan kita bahawa talak bukan permainan lidah. Sekali lafaz terlepas, ia boleh meruntuhkan institusi rumah tangga yang dibina dengan akad suci.

Dalam Mazhab Syafie, talak tiga dikategorikan sebagai ba’in kubra. Itu bermakna, pasangan tidak boleh rujuk semula, melainkan bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain dan perkahwinan itu berakhir secara sah. Hanya selepas itu barulah ada peluang untuk kembali kepada bekas suami pertama.

Iklan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel ‘Al-Kafi #1031: Lafaz Talak Ketika Bergurau’ pernah menegaskan, talak walaupun dilafazkan dalam keadaan bergurau tetap sah jika cukup syaratnya. Pesanan itu jelas menunjukkan betapa lafaz talak tidak boleh diucapkan sesuka hati.

Malangnya, ada dalam kalangan masyarakat yang menjadikan talak sebagai ugutan ketika bertengkar. Akibatnya, banyak pasangan menyesal selepas itu kerana tidak memahami implikasi sebenar.

Iklan

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan lebih 62,890 pasangan Islam bercerai pada 2022, meningkat hampir 20,000 kes berbanding tahun sebelumnya. Walaupun angka khusus bagi talak tiga tidak diperincikan, hakikat bahawa jumlah perceraian semakin bertambah sudah cukup menggusarkan.

Di sebalik angka ini, ada anak-anak yang terkesan, keluarga yang terpisah dan masa depan yang kabur. Justeru, ia bukan isu peribadi semata-mata, sebaliknya memberi kesan sosial yang besar.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah mengingatkan, talak bukan jalan penyelesaian mudah dalam rumah tangga. Sebaliknya, ia pilihan terakhir apabila segala usaha mendamaikan sudah menemui jalan buntu.

Ulama turut menekankan pentingnya kawalan emosi. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjadikan talak sebagai bahan gurauan. Baginda mengajar umat Islam agar menyelesaikan konflik dengan musyawarah dan sabar, bukan dengan menggadaikan lafaz talak.

Beberapa cadangan mungkin boleh dipertimbangkan untuk menangani isu itu pada masa akan datang. Pertama, kursus pra-perkahwinan perlu diperkasa dan dihayati. Bukan sekadar formaliti, tetapi benar-benar menekankan kefahaman hukum talak dan implikasinya. Bakal pengantin harus jelas tentang jenis talak, rujuk dan taklik.

Kedua, setiap lafaz talak mesti direkodkan di Mahkamah Syariah. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan, sekali gus memberi kepastian tentang status rumah tangga.

Selain itu, kaunseling perkahwinan perlu dimantapkan. Pasangan yang bergolak harus ada ruang untuk mendapatkan bantuan emosi dan panduan agama sebelum terlanjur mengucapkan lafaz talak.

Akhir sekali, peranan media sosial juga tidak boleh disisihkan dan wajar dilihat sebagai medan pendidikan. Pempengaruh khususnya harus sedar bahawa tindakan mereka bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga sendiri, tetapi turut mempengaruhi ribuan pengikut.

Apa pun, kes yang berlaku baru-baru ini hanyalah satu contoh yang wajar kita jadikan iktibar. Namun, mesej yang lebih besar adalah jangan sekali-kali mempermainkan lafaz talak. Ia bukan sekadar kata-kata, tetapi penentu jatuh bangunnya sebuah keluarga.

Jika masyarakat mengambil ringan isu itu, bimbang semakin banyak rumah tangga hancur kerana mulut yang tidak terkawal.

Talak sememangnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia adalah pilihan terakhir. Ingatlah, ia bukan senjata untuk diuji atau dijadikan bahan gurauan.

*Nurulfatiha Muah ialah wartawan Sinar Islam Plus