KLANG - Polis telah merakam keterangan salah seorang penunggang motosikal yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar, Kapar, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan lanjut berkaitan kes itu masih dijalankan.
Iklan
Iklan
“Polis telah merakam keterangan salah seorang daripada individu yang terlibat dalam insiden terbabit.
“Tindakan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, semakan mendapati tiada mana-mana pihak tampil menyalurkan maklumat berhubung kejadian setakat ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tular insiden pergaduhan membabitkan dua penunggang motosikal di simpang tiga lampu isyarat Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar, Isnin lalu.