Pelancong Malaysia jadi mangsa ragut di Hatyai

Iklan
Rakaman CCTV menunjukkan suspek meragut rantai emas berkenaan. Foto Agensi

HATYAI – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas meragut rantai emas milik pelancong Malaysia dalam kejadian di persimpangan Jalan Thung Sao, Hat Yai, wilayah Songkhla pada 9 Ogos lalu.

Suspek, Sakrin Kae Chayapan, 25, ditahan di rumah ibunya di daerah Thung Wa, Satun pada 24 September setelah polis mengesan pergerakannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Iklan
Iklan

Ketua Polis Hatyai, Kolonel Thammarat Phetnongchum berkata, siasatan mendapati suspek menunggang motosikal seorang diri sebelum menghampiri sebuah kenderaan awam yang dinaiki mangsa dan menarik rantai emas dari leher mangsa sebelum melarikan diri.

“Selepas mendapat waran tangkap daripada Mahkamah Wilayah Songkhla, anggota kami berjaya menahan suspek ketika berada di kediaman ibunya. Suspek kemudian mengaku melakukan jenayah berkenaan,” katanya pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, suspek mendakwa dia terdesak kerana menganggur lebih sebulan dan menjual rantai emas itu, dipercayai emas Malaysia, dengan harga lebih 20,000 baht (RM26,460) bagi melangsaikan hutang motosikal dan membayar sewa rumah.

“Suspek menafikan wang hasil jualan digunakan untuk berjudi dan mendakwa keluarganya tidak mengetahui mengenai kejadian itu,” katanya lagi.

Iklan

Kes tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong mengenai aspek keselamatan di Hatyai, yang merupakan destinasi popular bagi pengunjung dari Malaysia.

Suspek kini direman dan bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah peruntukan undang-undang Thailand.-Agensi