JAKARTA – Seorang wanita maut selepas tergelincir dari puncak Air Terjun Robo di Kabupaten Lima Puluh Kota, Sumatera Barat, Indonesia, ketika bersantai bersama rakan-rakannya.
Kejadian yang berlaku kelmarin itu menyaksikan mangsa, Windy Rahma Putri, 25, dipercayai dihanyutkan arus sebelum tergelincir ke dasar air terjun setinggi lebih 100 meter.
Menurut laporan Metro TV, mangsa merupakan penduduk Padang Pariaman yang berkunjung ke lokasi pelancongan itu bersama beberapa rakannya untuk menikmati keindahan alam dan kesejukan air terjun.
Insiden berkenaan turut dirakam dalam video yang tular di media sosial.
Rakaman tersebut memperlihatkan mangsa sedang berbaring di aliran air di puncak air terjun sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras dan terjatuh ke bawah.
Pasukan penyelamat kemudian menjalankan operasi membawa keluar mayat mangsa. Bagaimanapun, usaha berkenaan berdepan kesukaran berikutan keadaan muka bumi yang mencabar serta risiko keselamatan kepada petugas.
Ketua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Kabupaten Lima Puluh Kota, Roni, berkata operasi di kawasan berbahaya itu memerlukan penggunaan peralatan keselamatan tambahan.
“Bekerja di lokasi sukar ini memerlukan peralatan keselamatan yang lebih banyak,” katanya, semalam.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah berhampiran sebelum diserahkan kepada keluarganya. - Agensi