SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadangkan mewujudkan satu protokol khas bagi mengumumkan status siasatan kes besar untuk mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, komunikasi yang telus amat penting bagi memastikan SPRM dilihat benar-benar bebas dan berintegriti.
Iklan
Iklan
Beliau berpandangan, taklimat diberikan suruhanjaya terbabit juga mestilah lebih mendalam namun tidak menjejaskan siasatan apabila sesuatu keputusan besar dibuat.
“Selain itu, setiap siasatan wajib dijalankan berdasarkan bukti kukuh dan bukannya arahan tertentu ataupun desakan politik.
“Keputusan sama ada mendakwa atau tidak perlu dibuat bersama Jabatan Peguam Negara dengan asas undang-undang yang mantap,” katanya.
Bibi Sunita turut menegaskan mekanisme dalaman seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Panel Pemeriksa Aktiviti Siasatan SPRM (PPASR) perlu berfungsi dengan bebas serta berkesan dalam menyemak keputusan suruhanjaya itu.
Beliau berpandangan, jika langkah-langkah tersebut dilaksanakan secara konsisten, keyakinan rakyat terhadap SPRM akan pulih dan pada masa sama memperkukuh usaha negara memerangi rasuah.