KUALA LUMPUR – Beberapa premis urut di sekitar Puchong dan Kuala Lumpur kelihatan seperti pusat spa dan refleksologi biasa pada waktu pagi. Namun, menjelang petang hingga lewat malam, premis tersebut bertukar menjadi lokasi menawarkan perkhidmatan seks berbayar.
Taktik licik itu dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas risikan selama dua minggu mendapati pihak pengurusan premis mempromosikan perkhidmatan melalui kad perniagaan, media sosial dan aplikasi mesej dengan menawarkan pelbagai pakej kepada pelanggan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, antara pakej yang ditawarkan termasuk penggunaan ‘water bath’ mandi bersama pelanggan serta perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM200 hingga RM350, bergantung kepada pakej dan masa yang dipilih.
“Premis urut itu turut menyediakan bilik-bilik persendirian serta ruang tertutup untuk kegunaan pelanggan khusus. Dianggarkan keuntungan yang diperoleh oleh sebuah pusat urut mencecah kira-kira RM300,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zakaria berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 55 pegawai pelbagai pangkat telah digerakkan ke beberapa lokasi berhampiran.
“Seramai 42 individu terdiri daripada dua lelaki dan 29 perempuan warga asing serta 11 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi itu,” katanya.
Jelasnya, seramai 28 warga asing berusia 21 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Tahanan tersebut melibatkan dua wanita warga Thailand; seorang lelaki dan tiga wanita warga China; lima wanita Myanmar; 12 wanita Indonesia; empat wanita Vietnam; serta seorang lelaki warga India.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM turut mengeluarkan tujuh saman kepada saksi (Borang 29) terhadap pelanggan yang berada di beberapa lokasi kejadian,” katanya.
Zakaria menegaskan, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin,” ujarnya.