SHAH ALAM – Dua sindiket penyeludupan yang berselindung di sebalik gudang dalam kawasan perindustrian tumpas menerusi beberapa siri serbuan Ops Kontraban di Selangor dan Negeri Sembilan pada 18 hingga 22 September lalu.
Operasi melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM2.4 juta itu merangkumi rokok, arak tidak bercukai serta kenderaan yang digunakan oleh sindiket, selain turut menahan sembilan individu terdiri daripada warga tempatan serta warga asing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama JSJ Bukit Aman bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Negeri Sembilan.
“Sindiket ini menyewa gudang di kawasan perindustrian untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Operasi mereka dijalankan seperti perniagaan biasa namun premis tidak dibuka kepada umum kerana ia merupakan premis tertutup," katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Rabu.
Katanya, operasi dijalankan melibatkan enam serbuan iaitu lima di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.
“Seramai sembilan individu ditahan termasuk lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 58 tahun.
"Enam suspek merupakan warga tempatan manakala tiga lagi adalah warga Myanmar," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati dua suspek tempatan mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Siasatan mendapati suspek-suspek yang ditahan ini berperanan sebagai penjaga premis, pekerja am dan pengendali lori serta kenderaan yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan.
"Turut dirampas lebih daripada 4,720 karton rokok pelbagai jenama, 412 karton bir serta 124 karton minuman keras lain termasuk liquor dan beberapa kenderaan turut disita antaranya Toyota Camry, Toyota Harrier, Toyota Innova, Perodua Alza dan sebuah lori," katanya.
Kumar berkata, secara keseluruhan, nilai rampasan termasuk barang kontraban dan kenderaan dianggarkan RM2.4 juta.
“Sindiket ini menggunakan laluan tidak diwartakan atau jalan tikus untuk membawa masuk barangan dari negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Kumpulan ini dikesan aktif sejak tiga bulan lalu dan kita sedang menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang," katanya.
Jelasnya, beberapa kedai sekitar Lembah Klang dikenal pasti menerima bekalan daripada sindiket ini.
“Polis dengan kerjasama agensi lain termasuk Kastam dan Imigresen akan meneruskan operasi seperti itu bagi membanteras penyeludupan yang mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan.
"Kesemua suspek kini direman antara empat hingga 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.