ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal yang bergesel sesama sendiri di Kilometer 1.7 Lebuh Raya Linkedua arah selatan, di sini pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa warga tempatan berusia 30 dan 31 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selain patah tangan kanan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
"Hasil siasatan mendapati empat penunggang motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Singapura dan bergerak di lorong sebelah kanan, sebelum mereka bergesel sesama sendiri.
"Akibat daripada perlanggaran terbabit, kesemua penunggang motosikal telah terbabas di lorong yang sama dan menyebabkan dua daripadanya meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala dua yang lain masih mendapat rawatan di hospital kerana cedera," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kumarasan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah (BSPTD) Iskandar Puteri melalui talian 07-5101322," katanya. - Bernama