SEREMBAN - Persekitaran Malaysia yang hijau dan tenang menjadi faktor utama sepasang kembar dari Palestin memilih untuk melanjutkan pengajian di negara ini.
Mohamed Tariq Mansour Wafi dan Mansour Tariq Mansour Wafi, yang masing-masing berusia 19 tahun, memilih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pilihan mereka dan mula mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2025/2026 pada hari Selasa lalu.
Iklan
Iklan
Mohamed Tariq akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), manakala kembarnya, Mansour Tariq, memilih bidang Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) di Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Mohamed Tariq dan Mansour Tariq berkata bahwa suasana Malaysia yang damai memberikan ketenangan kepada mereka untuk fokus pada pengajian.
“Kami rasa ini adalah tempat yang sesuai untuk belajar dan membina masa depan. Ilmu yang diperoleh ini dapat kami manfaatkan untuk pembangunan masyarakat Palestin serta umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.
Katanya lagi, semangat dan sokongan dari keluarga banyak membantu mereka dalam membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.
“Keluarga kami sentiasa memberi semangat agar kami meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi. Itu menjadi motivasi yang besar untuk kami. Kami sudah menetapkan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah (PhD),” katanya.