3 pakar forensik dokumen dikemuka peguam ibu Zara Qairina untuk kaji dokumen mahkamah

Iklan
Pasukan peguam bersama tiga pakar forensik dokumen ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI]  Tiga pakar forensik dokumen yang dibawa khas dari Kuala Lumpur hadir di Mahkamah Koroner di sini bagi menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir.

Mereka ialah Pemeriksa Dokumen Forensik Bebas, Tay Eue Kam; Pensyarah dan Penyelidik Kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Dzulkiflee Ismail; serta Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa.

Iklan
Iklan

Peguam mewakili ibu Zara Qairina, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata kesemua pakar berkenaan kini berada di mahkamah untuk melakukan persediaan awal menggunakan peralatan forensik makmal mudah alih yang dibawa dari Kuala Lumpur.

Syarulnizam

Iklan

“Identiti mereka ialah Puan Tay Eue Kam, pemeriksa dokumen berpengalaman daripada PHA, penganalisis tulisan tangan, serta dua pensyarah kanan dari Program Sains Forensik USM, iaitu Dr Dzulkiflee dan Dr Wan Nur Syuhaila.

“Apa yang kita ingin capai dengan pemeriksa dokumen ini adalah untuk meneliti lebih banyak aspek dokumen yang telah ditanda di mahkamah. Minggu lalu, kita juga telah menerima kehadiran pakar, Dr Linthini Gannetion (SD Forensic Document Services), yang khusus dalam analisis tulisan tangan dan tandatangan pada dokumen yang telah ditender sebagai eksibit,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Rabu.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan kali ini melibatkan penilaian menyeluruh terhadap dokumen yang telah dikemukakan dan ditanda sebagai bahan bukti di Mahkamah Koroner.

“Kita meneliti pelbagai aspek termasuk analisis dakwat, jenis pen yang digunakan, lipatan kertas serta sama ada terdapat tanda ubah suai, penambahan atau pengurangan.

“Sebahagian daripada itu, kita juga mendapatkan replika seperti buku Love and Peace yang telah ditanda, supaya kita boleh membuat demonstrasi proses pembinaan semula.

“Kita difahamkan bahawa sebahagian helaian buku itu telah dikoyakkan dan ditanda di mahkamah. Jika tidak silap, eksibit Y1 hingga Y15, manakala baki buku berkenaan telah diserahkan kepada ibu Zara sebelum diserahkan semula kepada polis. Buku serta bahan lain yang diambil dari pejabat peguam Hamid Ismail juga telah dihantar untuk analisis asid deoksiribonukleik (DNA),” jelasnya.

Beliau berharap dokumen terbabit dapat diakses dalam prosiding seterusnya pada Khamis bagi tujuan penelitian lanjut.

“Tujuannya adalah untuk melihat proses pembinaan semula, terutamanya buku Love and Peace, kerana helaian yang dikoyakkan seharusnya berasal dari buku itu berdasarkan pemerhatian kasar. Kita juga mahu meneliti sama ada terdapat kertas yang hilang atau ditambah.

“Oleh itu, kita gembira kerana pasukan sains forensik sudi membantu, bukan sahaja untuk kes ini, tetapi juga bagi memudahkan Mahkamah Koroner memahami aspek sains forensik dan pengendalian dokumen,” katanya.

Katanya lagi, sebelum dimuktamadkan kesahihan dokumen, perlu ada kepastian mengenai dokumen mana yang wajar dirujuk dan yang perlu diasingkan.

“Dari awal kita sudah maklum bahawa dokumen ini telah banyak kali berpindah tangan, daripada guru kepada polis dan pihak lain. Kita tidak tahu apa yang berlaku sebelum ia ditemui, malah saksi kanak-kanak juga mengesahkan ramai penghuni asrama tahu arwah banyak menulis dalam buku ini.

“Buku itu disimpan di dalam loker yang mudah diakses, jadi memang ada potensi berlaku campur tangan. Sebab itu kita tidak mahu ada keraguan. Proses ini adalah untuk mencari kebenaran dan kita perlukan data analisis saintifik yang kukuh,” katanya.

Jelasnya, pemeriksaan oleh pasukan pakar itu akan dijalankan bermula Rabu hingga Jumaat, dan mungkin dilanjutkan sekiranya perlu.

“Jika kita boleh akses dokumen lain seperti yang disebutkan tadi, kita harap Dr Linthini juga dapat kembali hadir.

“Tujuannya adalah untuk mengesahkan tulisan tersebut, sama ada benar milik arwah atau tidak, supaya kita dapat memuktamadkan laporan dan menyusun keterangan untuk dikemukakan kepada mahkamah.

“Kalau ada yang bertanya mengapa kita perlukan dua pasukan forensik, ini kerana bidang forensik dokumen sebenarnya luas – bukan sekadar tulisan, tetapi juga evolusi gaya tulisan serta penggunaan dakwat,” ujarnya.

Tambahnya, hasil pemahaman awal mendapati gaya tulisan arwah Zara adalah gaya yang agak lazim bagi kanak-kanak yang sedang meningkat remaja.

“Ia digelar sebagai ‘copy printing’. Kanak-kanak sekolah rendah biasanya menulis dengan huruf bulat dan besar, dan itu merupakan salah satu jenis tulisan yang lazim diamalkan.

“Jadi kita perlukan pemerhatian lebih teliti untuk mengesahkan sama ada tulisan itu benar miliknya atau sebaliknya – bukan semata-mata bergantung kepada apa yang telah ditender,” katanya.

Sebelum ini, pemeriksaan dokumen melibatkan tulisan tangan dalam tiga buah diari, sebuah buku dan 15 helaian kertas milik Allahyarhamah Zara Qairina.

Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser mewakili Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.