TELUK INTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit sedalam kira-kira dua meter di Jalan Chenderong Balai Labu Kubong di sini awal pagi Rabu.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 12.23 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, maklumat awal mendapati seorang kanak-kanak dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam parit berkenaan.
Menurutnya, penduduk memaklumkan bahawa kehilangan kanak-kanak terbabit disedari antara jam 5 hingga 6 petang.
“Penduduk kampung terlebih dahulu menjalankan usaha mencari mangsa, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.
"Operasi menyelamat kemudian dijalankan dengan menggunakan kaedah pencarian di sepanjang tali air di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, hasil operasi berjaya menemukan mangsa di dasar parit kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah Shazlean, operasi disertai tujuh anggota dengan bantuan dua jentera iaitu Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu ditamatkan pada jam 4.10 pagi.