SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kapal Alma dinaiki sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan didatangi 15 buah dron.
Perkara itu dimaklumkan salah seorang sukarelawan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) menerusi hantaran di Facebook beliau pada pagi Rabu.
Menurutnya, letupan yang berlaku juga sempat dirakam.
"Terkini! Mereka datang lagi. Kali ini dengan 15 buah dron di sekitar Alma. Setakat ini yang kami perasan dron akan tutup lampu sebelum lepaskan letupan.
"Beberapa letupan juga dapat dilihat dari kapal kami. Nampaknya seperti hanya untuk menakutkan konvoi. Kami tidak akan berpatah balik," katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan setakat ini tiada sebarang kecederaan dan menyeru orang ramai agar terus mendoakan keselamatan semua yang terlibat.
"Tidak ada kecederaan setakat ini. Teruskan berdoa!" katanya.
Terdahulu, seramai 15 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran tersebut bermula 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Misi berkenaan merupakan sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.