KONTROVERSI melibatkan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) baru-baru ini menarik perhatian ramai.
Semuanya berpunca daripada isu ganjaran emas Sukan Paralimpik Paris 2024 yang didakwa belum dilunaskan.
Luahan Liek Hou di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk spekulasi tindakan disiplin sebelum Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil menegaskan tiada penggantungan dikenakan terhadapnya.
Insiden ini menyingkap kelemahan dalam aspek komunikasi dan pengurusan ganjaran, khususnya dari sudut ketelusan serta ketepatan maklumat yang disalurkan kepada atlet.
Bagi seorang atlet berstatus dunia seperti Liek Hou, kepastian tentang ganjaran penting kerana ia bukan sahaja penghargaan kepada pencapaian, malah simbol komitmen negara terhadap pengorbanan yang dilakukan.
Kekeliruan atau kelewatan berisiko menjejaskan motivasi atlet dan persepsi masyarakat terhadap pengurusan sukan.
Hakikatnya, iktibar utama yang boleh diambil ialah perlunya ketelusan. Segala bentuk ganjaran seharusnya didokumentasikan dengan garis masa jelas agar tidak timbul salah faham.
Selain itu, mekanisme komunikasi mesra atlet perlu diwujudkan supaya sebarang persoalan dapat dijawab melalui saluran betul tanpa perlu dibawa ke ruang awam.
Dalam masa sama, peranan dan tanggungjawab setiap pihak termasuk penaja harus diperincikan.
Apa pun, polemik ini juga harus menjadi peringatan bahawa sistem sukan negara memerlukan pelan jangka panjang yang menyeluruh.
Dengan cara ini, penghargaan terhadap mereka tidak bersifat sementara.
Sebagai aset negara yang mengangkat nama Malaysia di pentas dunia, atlet sewajarnya diberikan penghargaan setimpal.
Paling utama, insiden ini wajar dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada badan sukan tetapi juga semua pihak berkepentingan dalam menguruskan kebajikan atlet.
Jika sistem lebih telus, komunikasi berkesan dan janji ditunaikan tepat pada masanya, insiden sebegini tidak akan berulang.
Lebih penting, wira negara seperti Cheah Liek Hou dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap prestasi dan misi mereka tanpa dibebani polemik luar gelanggang.